simuzara24369

Wednesday 23 March 2011

Guru hebat, soalan tepat, prestasi meningkat

Cerita hati 2011 pertama:

Assalammualaikum ... salam kasih sayang buat para guru matematik yang sentiasa prihatinkan anak muridnya, mendidik dengan penuh dedikasi , sabar menghadapi ujian dan rintangan serta penuh dengan sifat tanggungjawab dan amanah. Yang pasti mendidik kerana Allah dan berbakti kepada anak didik tanpa jemu dan letih. Apa khabar semua ? Tahun 2010 telah hampir tiga bulan berlalu dan tahun 2011 lagi 9 bulan akan menutup tirainya. Alhamdulillah kita masih hidup untuk menghirup udara Tuhan dan masih sedap makan dan minum, masih boleh seronok membeli baju baru, kasut baru, beg tangan baru dan segala-galanya baru. Tapi masih belum bayar saman yang baru...ye ke? Namun begitu masih boleh membawa kereta ke mana-mana dengan aman dan tenteram. Alhamdulillah. ..Tahun 2011 ini , bagi diriku seperti tahun- tahun sebelumnya, aku masih sebagai seorang guru matematik. Namun kelas-kelas yang ku ajar tahun ini bukannya kelas tingkatan 5 seperti tahun lepas sebanyak 5 buah kelas yang ku ajar iaitu 5 Persona ( kelas aliran sains tulen-Biologi) , 5 Iswara ( kelas lukisan kejuruteraan) , 5 Tiara (kelas Tasawwur Islam), 5 Perdana ( kelas Geografi) dan 5 Waja (kelas Perdagangan). Aku rasa tahun 2010 sangat mencabar bagi diriku yang diberi amanah mengajar calon-calon SPM 2010. Ya .. SPM akan keluar tak lama lagi iaitu pada 23 Mac 2011. Aku akan mengambil alih tugas Cikgu Batarmalar yang berpindah ke SMK Khatolik Tanjong Malim. Tugasku mengasingkan kesemua dokumen (sijil berhenti, surat akuan, sijil PEKA, sijil ULBS BM dan BI, sijil PAFA dan buku rekod kemajuan ) yang akan diserahkan kepada pelajar tingkatan 5 Tiara berserta slip keputusan SPM mereka nanti. Aku akan membawa kemera untuk merakamkan detik-detik cemas mereka menanti keputusan masing-masing. Sudah bertahun-tahun aku tidak menjadi guru kelas tingkatan 5, jadi tiba masanya untuk aku mengambil peluang keemasan ini. Aku teringatkan satu peristiwa sepuluh tahun yang lalu, aku didatangi oleh seorang pelajar perempuan. Aku tidak mengenalinya. Ketika itu aku berada di dalam bilik fotostat di bahagian belakang pejabat sekolah. Dengan wajah yang panik dia bertanya kepada aku , "Cikgu, saya lulus ke ni?" Aku menoleh kepadanya lalu mataku tertumpu ke arah slip yang ditunjukkan kepada ku. Astaghfirullah.. keputusan bagi semua sembilan mata pelajaran yang diambilnya mendapat 9G . GAGAL!!..Ketika itu aku tak berkata apa-apa melainkan tunduk sedih. Sekali lagi dia ingin tahu ."Cikgu macam mana, saya ni lulus ke tak ?" Aku memegang bahunya , " Macam inilah, kamu ambil lagi peperiksaan tahun hadapan ye." Pujukku dengan jujur. Diapun mengucapkan terima kasih kepada ku dan terus berlalu. Aku masih lagi tergamam mengingatkan slip yang baru aku lihat tadi. Ahh.. Nauzubillahiminzalik terjadi kepada anak cucuku. Aku mula mencongak-congak , jika pelajar itu mula mendapat pendidikan formal di sekolah dari darjah satu hingga tingkatan lima bermaksud sudah 11 tahun dia menuntut ilmu. Apakah tidak ada satu ilmupun melekat di dalam otaknya. Ya ALLAH engkaulah pemilik segala ilmu yang maha luas. Akupun mula memikirkan satu cadangan jalan penyelesaian untuk mereka yang tidak mampu mengikuti sistem pendidikan yang beroreintasikan peperiksaan ini. Perlukan ada satu sekolah yang khas bagi murid-murid lepasan darjah enam untuk mengikuti apa sahaja kemahiran yang terancang untuk kerjaya mereka nanti. Kemahiran apa ye.. opps membuat roti canai secara profesional ke, membancuh teh tarik istimewa ke dan lain-lain lagi yang pasti mereka tidak akan menganggur setelah tamat tingkatan lima kelak. Ahh.. biarlah kementerian pelajaran yang memikirkan semua itu. Tugasku ialah mendidik dan terus mendidik. Selagi hayat dikandung badan , aku akan cuba menjadikan teknik pengajaranku menarik, anak didikku memahami apa yang ku ajar, apa yang cuba ku sampaikan difahami dan yang penting mereka mengetahui bahawa apa yang ku ajar berguna untuk kesinambungan hidup mereka kelak. Yang penting untuk mendapat keredhaan Ilahi.

Cerita hati 2011 kedua:

Encik Din mendekatiku di kantin sekolah. "Cikgu Musni, ini ada surat untuk cikgu, minta tanda tangan di sini", kata Encik Din sambil menghulurkan sebuah buku panjang penerimaan surat-surat penting kepadaku. Akupun menandatanganinya dan mengucapkan terima kasih kepadanya. " Cik Din minumlah dulu", ajakku . Encik Din menolak pelawaan ku dengan baik. Akupun membaca kepala surat. Oh.. dah sampai tugas yang ku nanti-nantikan setiap tahun. Mesyuarat Pembinaan Item bagi Peperiksaan Percubaan SPM negeri Perak yang akan diadakan pada 28 Februari 2011, bertempat di PPD Kinta Utara. Seminggu sebelum hari aku akan ke Ipoh aku mengambil kertas sebenar soalan matematik SPM 2010 sebagai rujukan. Aku kemaskinikan segala maklumat di dalam laptopku yang berkaitan dengan soalan -soalan percubaan tahun-tahun lepas. Seminggu selepas aku diberi agihan tugas semasa di Ipoh, akupun mula memikirkan bagaimana untuk membuat kerja 2 dalam 1 atau mungkin lebih dari itu. Aku meneliti analisis yang disediakan dalam setiap buku rujukan matematik dan kebanyakannya merupakan format aras soalan bagi peperiksaan SPM tahun-tahun lepas. Jadi aku mula memikirkan bagaimana untuk memudahkan aku memilih soalan yang hampir tepat mengikut kehendak semasa. Adakah ianya soalan ramalan ? Aku gunakan microsoft excel untuk menyimpan failku yang bernama MAKNUJUMMATHS. Tujuanku bukan sahaja untuk memudahkan tugasku menyediakan soalan malah untuk kegunaan LADAP Matematik yang akan aku jadikan sebagai ceramahku nanti. Para guru SMKKJ bolehlah menggunakannya sebagai model untuk penyediaan soalan -soalan ujian dan peperiksaan kelak. Semoga kita semua menjadi guru yang berkeyakinan ketika mengajar, hebat dalam ilmu matematik dan menjalankan amanah yang diberi. Amin. Inilah sebahagian dari hasilnya.

No comments:

Post a Comment