simuzara24369

Friday 18 May 2012

Sambungan Guru Cemerlang 2012




Harapan dan wawasan anda sebagai seorang guru cemerlang.

           Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin berkata ,“Transformasi pendidikan Negara dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara merupakan menifestasi kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan Negara. Menerusi hasrat dan matlamat ini, kerajaan berkeyakinan bukan sahaja untuk merakyatkan peluang pendidikan malahan berupaya untuk merakyatkan kecemerlangan pendidikan ke seluruh pelosok Negara. Justeru itu kewibawaan dan komitmen guru cemerlang dalam usaha mencapai hasrat dan matlamat murni ini amat diyakini. Guru cemerlang bersedia menjadi barisan hadapan bagi melaksanakan segala program transformasi di peringkat akar umbi. Guru cemerlang mesti berani melakukan transformasi dalam budaya berfikir dan cara bekerja bagi mencapai tujuan dan matlamat tersebut.”
         Harapan serta wawasan saya sebagai seorang guru adalah untuk menjadi seorang guru cemerlang Matematik yang beriman dan beritqan (bersungguh-sungguh) dalam usaha membawa arus perubahan agar dapat mendidik pelajar-pelajar khasnya dan masyarakat amnya. Platform sebagai guru cemerlang menjadi satu wadah perjuangan saya bagi memartabatkan khidmat saya serta melipat gandakan usaha bagi membentuk modal insan di kalangan pelajar  dan juga di kalangan rakan seperjuangan.
      Saya juga mengharapkan agar berupaya memainkan peranan sebagai pelaksana program transformasi pendidikan. Dalam merealisasikan program transformasi pendidikan, saya yang berada di dalam barisan guru cemerlang terlebih dahulu patut melakukan transformasi minda dan budaya kerja yang selari dengan perubahan zaman untuk membolehkan KPI tercapai. Saya juga  hendaklah mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi agar kemenjadian murid dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah seperti yang diharapkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia berjaya dihasilkan. Tanggungjawab dan amanah yang digalas sesungguhnya besar, berat lagi mencabar tetapi amat murni untuk meneruskan perjuangan mendukung wawasan Negara bagi membina Negara bangsa yang bersatu padu, beridentiti nasional, berintegreti, demokratik, maju dan makmur. Untuk merealisasikannya saya perlu bekerjasama dengan pihak Pentadbiran, pihak Hal Ehwal Pelajar dan Lembaga Disiplin serta pihak Kokurikulum dalam membentuk kemenjadian sahsiah pelajar. Guru yang cemerlang merupakan seorang guru yang sentiasa mempunyai wawasan dan matlamat diri yang mulia iaitu ingin melihat kejayaan cemerlang di kalangan pelajar- pelajarnya iaitu cemerlang akademik, cemerlang kokurikulumnya, cemerlang akhlaknya dan yang paling penting cemerlang agamanya.
Menerusi amalan dan penghayatan Prinsip Kerja X-Plus, saya sebagai guru cemerlang berharap agar dapat bekerja dengan sasaran untuk mencapai kecemerlangan yang melepasi standard yang pernah dicapai dan berteraskan ilmu pengetahuan secara latihan. Platform sebagai guru cemerlang menjadi satu wadah perjuangan saya bagi memartabatkan khidmat saya dan rakan-rakan seperjuangan. Saya percaya bahawa guru cemerlang akan lebih berinovatif dan kreatif dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti tinggi selaras dengan matlamat untuk mencapai taraf Negara maju dengan ekonomi pendapatan tinggi.
          Saya juga mengharapkan agar pelbagai pendedahan ilmiah diberikan kepada saya. Saya sebagai guru cemerlang  harus sedar bahawa pendidikan merupakan suatu usaha yang berterusan. Bukan sahaja dalam pendidikan formal, saya juga perlu aktif dalam pendidikan tak formal yang dengannya setiap individu membina sikap, nilai hidup, kemahiran, dan pengetahuan melalui pengalaman seharian seperti pengaruh keluarga, jiran, tempat kerja, dan media massa. Dalam pendidikan bukan formal pula, saya perlu bersama –sama hadir dalam seminar pendidikan, bengkel kemahiran, atau kursus pendek yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, JPN mahupun PPD. Proses pendidikan sepanjang hayat adalah secocok dengan sabda Rasullullah s.a.w, “ Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Saya perlu membekalkan para pelajar dengan pengetahuan konsep dan prosedur yang relevan untuk membolehkan mereka berubah secara holistik  bagi memenuhi tuntutan zaman maklumat dengan jayanya.




          Lindsey (1980), ada menyatakan, guru yang pintar cerdas, kreatif dan bermotivasi tinggi sahaja yang sesuai untuk menjadi pendidik kepada pelajar-pelajar pintas cerdas. Guru-guru cemerlang sentisa diberi peluang menghadiri latihan serta kursus yang dapat memantapkan bidang profesionalisme mereka. Oleh itu dengan gelaran guru cemerlang yang di sandang, dapatlah kiranya saya menambah ilmu pengetahuan agar menjadi lebih kreatif dan bermotivasi. Di samping itu, saya juga dapat memberi input yang lebih kepada para pelajar khasnya dan guru amnya.
      Saya juga berharap agar sebagai guru cemerlang saya tidak lupa untuk muhasabah diri sendiri tanpa ada perasaan sombong malah merasa diri perlu belajar dan terus belajar.  Proses muhasabah yang saya lakukan perlu bertindak pada dua tahap, iaitu tahap individu dan tahap sosial. Pada tahap individu, saya menilai keberkesanan pengajaran saya sendiri. Pada tahap sosial pula, pelajar dan pentadbir pula menilai keberkesanan pengajaran saya. Para pelajar merupakan kelompok sosial yang paling layak menilai keberkesanan pengajaran saya  kerana mereka merupakan sasaran bagi pengajaran tersebut. Dengan itu, maklumat mengenai perspektif pelajar terhadap tingkah laku saya boleh membantu saya membuat diagnosis tentang kelemahan diri saya. Walaupun matematik adalah satu mata pelajaran yang abstrak tetapi pendekatan yang betul dan konkrit patut disediakan supaya mata pelajaran itu tidak menimbulkan kesan negatif yang boleh menambah kekeliruan kepada pelajar. Saya perlu mempelajari  pendekatan untuk meredakan kesan negatif yang mungkin terpahat di sanubari pelajar. Dengan cara itu pelajar boleh tenang, tidak gelabah dan berani menghadapi 'tekanan' matematik.
Akhir kalam, “Guru Cemerlang Pemacu Transformasi Pendidikan Negara Malaysia”

No comments:

Post a Comment