simuzara24369

Friday 18 May 2012

Guru Cemerlang Matematik 2012




      


Usaha anda bagi meningkatkan tahap profesionalisme dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran / bidang yang di pohon


 Dalam pendidikan, kebolehan guru menjalankan aktiviti pengurusan dan kepimpinan banyak bergantung kepada pemahaman mereka tentang matlamat pendidikan. Guru yang profesional ialah guru yang faham bahawa pendidikan bukanlah sekadar menyampaikan pengetahuan yang terkandung dalam buku teks. Sebaliknya, membabitkan proses mengembangkan unsur-unsur rohani, kognitif, fizikal, sosial, emosi, personaliti, dan bahasa secara bersepadu bagi melahirkan pelajar yang dapat memberi sumbangan yang berfaedah kepada pembangunan diri, masyarakat dan Negara. Justeru itu saya yang diamanahkan sebagai guru cemerlang mata pelajaran Matematik sekolah menengah mestilah memainkan peranan yang lebih proaktif dan berkesan khususnya dalam memantapkan lagi program takwim yang telah dirancang lebih-lebih lagi dalam peningkatan pembelajaran Matematik  di sekolah. Pelbagai usaha berterusan yang telah, sedang dan akan dirancang melalui projek utama, projek sokongan dan projek sampingan panitia matematik SMK Khir Johari Tanjong Malim.

        Projek utama yang lebih berfokus di dalam bilik darjah seperti mengadakan program MAS (Minimum Adequate Syllabus)  berlangsung sekitar bulan Januari dan Ogos pada setiap tahun. Dalam Program MAS ini, penekanan diberi kepada penguasaan konsep dan kemahiran matematik tingkatan 1 hingga 3 kerana berdasarkan analisis soalan peperiksaan matematik SPM 1993, terdapat 60% yang diuji dalam kertas 1 dan 20% soalan yang diuji dalam kertas 2 matematik SPM terdiri daripada konsep dan kemahiran matematik tingkatan 1 hingga 3.  Selain dari itu, latih tubi berfokus, ujian bulanan dan peperiksaan dilaksanakan dari bulan Januari hinggalah November pada setiap tahun.  Saya juga melaksanakan program utama yang dianjurkan oleh pihak JPN dan PPD dengan jayanya. Di antaranya ialah Program WAJA, Program Learning To Score, Program Answer To Score, Program SOLAR untuk tingkatan 3 dan Program SOLAF untuk tingkatan 5, Pecutan Akhir dan Gegar Minda.

         Sebagai guru cemerlang merangkap ketua panitia matematik , saya mesti memastikan agar projek sokongan berjalan dengan jayanya berkat bantuan ahli-ahli Panitia Matematik. Program Easy Maths dijadikan amalan para guru di dalam bilik darjah. Kelas Citra Bestari, Kelas Tambahan, Kelas Cuti-Cuti Cemerlang dijalankan pada musim cuti sekolah. Kelas Menuju Puncak diadakan dua jam selepas masa terakhir persekolahan, khas untuk pelajar tingkatan 3 dan 5. Gerak Gempur selepas peperiksaan pertengahan tahun ataupun selepas peperiksaan percubaan SPM diadakan bagi menguji sejauh mana kesediaan pelajar menghadapi peperiksaan sebenar. Program Teknik Menjawab Soalan juga diadakan bagi memperkenalkan pelajar dengan format kertas 1 dan kertas 2 dalam peperiksaan sebenar.  Dari semasa ke semasa juga mesyuarat di adakan di kalangan ahli panitia bagi memantapkan dan memperkukuhkan lagi perjalanan P&P di dalam kelas. Setiap kali selepas berkursus saya memastikan agar LADAP diadakan dan di antaranya ialah seperti Geometer Sketch Pad (GSP) dan Modul Kreativiti Terarah.

         Tugas menyampaikan ilmu bukan sahaja terhad di dalam bilik darjah malah guru perlu bergerak aktif di luar bilik darjah. Dalam usaha membangunkan modal insan  yang cemerlang dan seimbang, Projek Sampingan seperti Minggu Sains dan Matematik ataupun Karnival Sains dan Teknologi diadakan pada setiap tahun. Persatuan Matematik sangat menggalakkan  pelajar menyertai setiap pertandingan  yang dianjurkan. Kerja Berkumpulan dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam aktiviti Treasure Maths . Untuk mempraktikkan ilmu Matematik dalam kehidupan seharian, pelajar juga digalakkan untuk mengadakan jualan sempena Hari Kantin, Hari Kejohanan Sukan Tahunan, Hari Koperasi, Hari Guru dan lain-lain.

          Kejayaan akademik harus diganding dengan modal insan untuk melahirkan generasi gemilang. Untuk itu usaha secara berterusan yang dilakukan ialah melaksanakan dengan jayanya program mentor –mentee yang mana terlebih dahulu saya akan memastikan setiap ahli mentee mempunyai kad ahli perpustakaan UPSI. Sepanjang cuti persekolahan saya akan mengadakan diskusi berkala bersama mentee agar mereka termotivasi untuk belajar dengan lebih tekun dalam suasana yang lebih kondusif. Objektif saya ialah agar pihak guru dan pelajar dapat menggunakan pendekatan P&P di luar bilik darjah yang bukan sahaja dapat mempelbagaikan gaya pembelajaran malah dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara guru dan pelajar.
        

 Dalam P&P ada kalanya saya tidak berpeluang  untuk menyampaikan idea yang canggih tentang sesuatu topik, oleh itu saya telah membina sebuah  blog sendiri agar pelajar boleh melayari dan mendapatkan input tentang sesuatu topik dengan lebih jelas dan menarik. Saya juga sering mengalukan pelajar agar sentiasa mencari maklumat terkini dan berguna di dalam youtube yang berkenaan dengan matematik. Klinik matematik juga diadakan bagi mengatasi masalah pelajar secara perseorangan.

           Sebagai usaha meningkatkan tahap profesionalisme dalam P&P mata pelajaran matematik, saya sentiasa memastikan agar saya mengikut etika keguruan dengan sebaik mungkin. Guru sentiasa menjadi idola setiap pelajar kerana apa yang di baca hanya 10% yang diingat, apa yang didengar ialah 30% yang dingat, apa yang didengar dan dilihat ialah 50% yang diingat, apa yang dicakapkan ialah 70% yang diingat  dan setelah  dipraktikkan,  90% yang diingat. Justeru itu benarlah firman Allah yang bermaksud; “Berbuatlah kamu maka Allah akan melihat amalan kamu dan nabi akan melihat amalan kamu dan juga orang-orang yang beriman akan melihat amalan kamu.” Semoga saya  menjadi guru cemerlang yang berjaya di dunia dan diakhirat. Sekian terima kasih.  

1 comment: