Harapan dan wawasan anda sebagai seorang guru cemerlang.
Tan
Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin berkata ,“Transformasi pendidikan
Negara dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara merupakan menifestasi kerajaan
untuk meningkatkan kualiti pendidikan Negara. Menerusi hasrat dan matlamat ini,
kerajaan berkeyakinan bukan sahaja untuk merakyatkan peluang pendidikan malahan
berupaya untuk merakyatkan kecemerlangan pendidikan ke seluruh pelosok Negara.
Justeru itu kewibawaan dan komitmen guru cemerlang dalam usaha mencapai hasrat
dan matlamat murni ini amat diyakini. Guru cemerlang bersedia menjadi barisan
hadapan bagi melaksanakan segala program transformasi di peringkat akar umbi.
Guru cemerlang mesti berani melakukan transformasi dalam budaya berfikir dan
cara bekerja bagi mencapai tujuan dan matlamat tersebut.”
Harapan serta wawasan saya sebagai
seorang guru adalah untuk menjadi seorang guru cemerlang Matematik yang beriman
dan beritqan (bersungguh-sungguh) dalam
usaha membawa arus perubahan agar dapat mendidik pelajar-pelajar khasnya dan
masyarakat amnya. Platform sebagai guru cemerlang menjadi satu
wadah perjuangan saya bagi memartabatkan khidmat saya serta melipat gandakan usaha bagi membentuk modal insan
di kalangan pelajar dan juga di
kalangan rakan seperjuangan.
Saya juga mengharapkan agar berupaya
memainkan peranan sebagai pelaksana program transformasi pendidikan. Dalam
merealisasikan program transformasi pendidikan, saya yang berada di dalam barisan
guru cemerlang terlebih dahulu patut melakukan transformasi minda dan budaya
kerja yang selari dengan perubahan zaman untuk membolehkan KPI tercapai. Saya
juga hendaklah mengamalkan budaya kerja
berprestasi tinggi agar kemenjadian murid dalam bidang kurikulum, kokurikulum
dan sahsiah seperti yang diharapkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia
berjaya dihasilkan. Tanggungjawab dan amanah yang digalas sesungguhnya besar,
berat lagi mencabar tetapi amat murni untuk meneruskan perjuangan mendukung
wawasan Negara bagi membina Negara bangsa yang bersatu padu, beridentiti
nasional, berintegreti, demokratik, maju dan makmur. Untuk merealisasikannya
saya perlu bekerjasama dengan pihak Pentadbiran, pihak Hal Ehwal Pelajar dan
Lembaga Disiplin serta pihak Kokurikulum dalam membentuk kemenjadian sahsiah
pelajar. Guru yang cemerlang merupakan seorang guru yang sentiasa mempunyai
wawasan dan matlamat diri yang mulia iaitu ingin melihat kejayaan
cemerlang di kalangan pelajar- pelajarnya iaitu cemerlang akademik,
cemerlang kokurikulumnya, cemerlang akhlaknya dan yang paling penting cemerlang
agamanya.
Menerusi amalan dan penghayatan
Prinsip Kerja X-Plus, saya sebagai guru cemerlang berharap agar dapat bekerja
dengan sasaran untuk mencapai kecemerlangan yang melepasi standard yang pernah
dicapai dan berteraskan ilmu pengetahuan secara latihan. Platform sebagai guru
cemerlang menjadi satu wadah perjuangan saya bagi
memartabatkan khidmat saya dan rakan-rakan seperjuangan. Saya percaya
bahawa guru cemerlang akan lebih berinovatif dan kreatif dalam usaha melahirkan
modal insan berkualiti tinggi selaras dengan matlamat untuk mencapai taraf
Negara maju dengan ekonomi pendapatan tinggi.
Saya juga mengharapkan agar pelbagai
pendedahan ilmiah diberikan kepada saya. Saya sebagai guru cemerlang harus sedar bahawa pendidikan merupakan suatu
usaha yang berterusan. Bukan sahaja dalam pendidikan formal, saya juga perlu
aktif dalam pendidikan tak formal yang dengannya setiap individu membina sikap,
nilai hidup, kemahiran, dan pengetahuan melalui pengalaman seharian seperti
pengaruh keluarga, jiran, tempat kerja, dan media massa. Dalam pendidikan bukan
formal pula, saya perlu bersama –sama hadir dalam seminar pendidikan, bengkel
kemahiran, atau kursus pendek yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia, JPN mahupun PPD. Proses pendidikan sepanjang hayat adalah secocok
dengan sabda Rasullullah s.a.w, “ Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang
lahad”. Saya perlu membekalkan para pelajar dengan pengetahuan konsep dan
prosedur yang relevan untuk membolehkan mereka berubah secara holistik bagi memenuhi tuntutan zaman maklumat dengan
jayanya.
Lindsey (1980), ada menyatakan, guru
yang pintar cerdas, kreatif dan bermotivasi tinggi sahaja yang sesuai untuk
menjadi pendidik kepada pelajar-pelajar pintas cerdas. Guru-guru cemerlang sentisa
diberi peluang menghadiri latihan serta kursus yang dapat memantapkan bidang
profesionalisme mereka. Oleh itu dengan gelaran guru cemerlang yang di sandang,
dapatlah kiranya saya menambah ilmu pengetahuan agar menjadi lebih kreatif dan
bermotivasi. Di samping itu, saya juga dapat memberi input yang lebih kepada
para pelajar khasnya dan guru amnya.
Saya juga berharap agar sebagai guru
cemerlang saya tidak lupa untuk muhasabah diri sendiri tanpa ada perasaan
sombong malah merasa diri perlu belajar dan terus belajar. Proses muhasabah yang saya lakukan perlu bertindak
pada dua tahap, iaitu tahap individu dan tahap sosial. Pada tahap individu, saya
menilai keberkesanan pengajaran saya sendiri. Pada tahap sosial pula, pelajar
dan pentadbir pula menilai keberkesanan pengajaran saya. Para pelajar merupakan
kelompok sosial yang paling layak menilai keberkesanan pengajaran saya kerana mereka merupakan sasaran bagi
pengajaran tersebut. Dengan itu, maklumat mengenai perspektif pelajar terhadap
tingkah laku saya boleh membantu saya membuat diagnosis tentang kelemahan diri saya.
Walaupun matematik adalah satu mata
pelajaran yang abstrak tetapi pendekatan yang betul dan konkrit patut
disediakan supaya mata pelajaran itu tidak menimbulkan kesan negatif yang boleh
menambah kekeliruan kepada pelajar. Saya perlu mempelajari pendekatan untuk meredakan kesan negatif yang
mungkin terpahat di sanubari pelajar. Dengan cara itu pelajar boleh tenang,
tidak gelabah dan berani menghadapi 'tekanan' matematik.
Akhir kalam, “Guru Cemerlang Pemacu Transformasi
Pendidikan Negara Malaysia”